Followers

Friday 3 August 2012

~ TaRbiYAh RaMadHan ~


Seringkali kita mendengar bahawa bulan Ramadan  merupakan bulan tarbiyah/didikan. Ia menjadi satu wasilah  untuk kita memperbaiki diri kita menjadi seorang  muslim yang  sejati, satu bulan yang Allah berikan pada hambaNya amat membantu kita untuk melakukan refleksi diri, ataupun melakukan sebarang perubahan posotif dalam  menilai diri kita dan melihat sejauh  mana kedudukan iman dan takwa kita kepada Allah SWT.

Dalam surah al-Baqarah jugalah Allah SWT berfirman tentang kewajipan melaksanakan ibadah puasa:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah, ayat 183)

Oleh sebab itu, segala aktiviti seharian kita harus di ubah dan ditambah baik agar erti kesempurnaan bulan Ramadan itu benar-benar kita rasai. Antara perkara yang perlu kita perbaiki adalah jadual untuk melaksanakan amalan wajib. Jikalau selama ini kita sering solat pada akhir waktu, cuba kita ubah diri kita untuk menjadi orang pertama yang berada di atas tikar sembahyang dan seterusnya melatih diri kita agar sentiasa istiqamah dalam melakukan perubahan tersebut. Perubahan yang dilakukan bukan sahaja untuk bulan ramadhan, tetapi biarlah ianya berterusan sampai bila-bila sehinggakan kita menjadi seorang yang mentaqarrubkan diri kepada penciptaNya daripada sebelum ini. Jadikan solat itu sebagai tiang agama. Dan kalau kita fikir-fikirkan, bagaimana kita nak membina rumah tanpa tiang??adakah terhasilnya sebuah rumah??begitulah ibaratnya hubungan  kita dengan solat. 

Selain daripada itu, kita hendaklah sentiasa mengamalkan membaca Al-Quran. Kitab Al-Quran merupakan kalamullah yang di dalamnya penuh dengan nasihat, iktibar dan suruhan Allah yang harus kita laksanakan. Ayat suci Al-Quran bukan sahaja dibaca dalam bulan ramadhan sahaja bahkan kita juga mesti membacanya dalam bulan-bulan lain juga. Kalau kita lihat masyarakat kita masa kini, hanya dalam bulan ramadhan sahaja, mereka akan berebut-rebut untuk melakukan amalan kebaikan sedangkan Allah menyuruh hambaNya sentiasa mumarasah/latihan untuk berbuat baik sepanjang masa. Itulah keadaan masyarakat kita. Kalau kita lihat, dalam bulan mulia ini juga, masjid dan surau dipenuhi jemaahnya sedangkan waktu lain ke mana insan2 ini pergi??? Cuba fikirkan sejenak!!!

Jika dahulu begitu sukar bagi kita untuk membuka helaian Al-Quran (apatah lagi untuk membacanya), maka, bulan Ramadan inilah bulan yang sepatutnya kita gunakan setiap masa dengan sebaiknya untuk menjadikan Al-Quran sebagai teman karib dan sahabat kita walau di mana kita berada. Firman Allah SWT:

"Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya."
(Surah al-Kahf, ayat 27)

Bacaan Al-Quran yang dihayati dengan sebaiknya, mampu melembutkan hati kita untuk kembali kepada fitrah Ilahi. Kisah pengislaman Saidina Umar RA boleh dijadikan contoh terbaik. Saidina Umar RA yang begitu keras hatinya dan selalu mencari jalan untuk menentang Rasulullah SAW akhirnya memeluk Islam setelah membaca surah Taha:

"Taa' Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy."
(Surah Taha, ayat 1-5)

Seterusnya, kita juga seharusnya mengamalkan amalan bersedekah. Sedekah merupakan suatu pemberian kepada orang lain. Sedekah itu sesuatu yang subjektif/orang boleh nampak. Ramai insan masa kini yang menyalahtafsirkan erti sedekah yang sebenarnya. Sedekah bukan sahaja dari segi kewangan, memberi wang kepada orang lain, harta benda dan sebagainya. Dalam sebuah hadis ada menyebut, senyuman itu juga dikira sebagai sedekah. Membuang sesuatu yang menghalang di jalanan juga sedekah. Mengajarkan sesuatu yang bermanfaatkan kepada orang lain juga dikira sebagai sedekah. Firman Allah SWT:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya..."
(Surah al-Baqarah, ayat 261)


Justeru, jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai satu bulan yang penuh dengan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Jadikanlah ia titik permulaan untuk kita mentarbiyahkan diri kita. Semoga kita dapat beristiqamah dalam meneruskan amalan kita sehingga pada bulan-bulan seterusnya, insya-Allah. Barokallah.....

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK PADA SEMUA….


No comments: