Followers

Thursday, 30 August 2012

~QuRRaTuL Ain ~

ALLAH telah berfirman dalam kalamNYa yang bermaksud :

 Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi penyejuk mata (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqan:74)

 Apakah yang kita faham akan maksud qurratul ‘ain? Al-Quran telah diturunkan kepada kita sebagai satu kitab dan panduan yang jelas lagi terang bersuluh dan sempurna untuk menerangkan kepada kita akan hakikat kehidupan seharian kita. Kitab mulia ini diturunkan dalam bahasa Arab, bermula dengan surah Al-Fatihah hingga surah An-Nas, yang mengandungi 30 juzuk, 114 surah dan tiada yang lebih memahami bahasa Al-Quran ini melainkan orang Arab, atau mereka yang mahir dalam bahasa Arab.

 Kalimah qurratu ‘ain (penyejuk mata) digunakan oleh bangsa Arab sebelum dan semasa Al-Quran diturunkan, dengan membawa maksud:

1.     Sesuatu yang memberi perasaan gembira, bahagia dan ketenangan hati


Jika kita lihat perkataan yang berlawanan dengannya, di mana dalam masyarakat Arab dahulu telah menggunakannya, antara perkataan buruk yang boleh diucapkan oleh seseorang kepada orang yang lain adalah “Semoga mata anda menjadi panas.” Apakah yang dimaksudkan dengan ‘panas’ di sini? Dalam kata lain, ia bermaksud “Semoga anda sentiasa dilanda kesedihan, hidup tertekan, dan diselubungi sengsara.”

 

2.     Sesuatu yang melindungi dan memberi kerehatan


Masyarakat Arab dahulu telah mengembara dengan menggunakan unta, dan semasa dalam pengembaraannya, ribut pasir telah melanda. Kemudian, mereka menutup seluruh tubuh dan muka mereka dengan kain ataupun pakaian, kecuali mata mereka. Oleh sebab itu, mata mereka terpaksa bertahan sehingga rebut pasir  berhenti atau mereka sampai ke tempat perlindungan. Apabila mereka berjaya mencari tempat berlindung dan beristirehat, mereka berkata “Mataku kini menjadi sejuk.”

 Tentang ayat Al-Quran di atas, antara ‘ibrah yang boleh kita ambil:

Pertama, ‘ibrah yang tersurat, kita diminta untuk berdoa kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan pasangan hidup dan anak yang soleh & solehah yang menjadi penyejuk mata, penyenang hati, dan penenang jiwa. Semoga pasangan hidup dan anak-anak yang Allah anugerahkan kepadanya akan menjadi sumber kegembiraan, ketenangan dan kebahagiaan.

Kedua, ‘ibrah yang tersirat, selain berdoa dikurniakan pasangan yang bahagia di dunia & akhirat, Allah juga menyuruh kita berusaha menjadi isteri atau suami yang menjadi penyejuk mata, penyenang hati, penenang jiwa kepada pasangan. Jangan hanya berharap dan berkata “Dia sepatutnya menjadi penyejuk mata buat aku.” Usahakan dahulu agar diri kita  menjadi penyejuk mata buat dirinya. Barulah berusaha untuk jadikan pasangan kita sebagai penyejuk mata buat diri kita.

Ketiga, buat para suami, berusahalah mendidik isteri dan anak-anak dengan didikan Islam, tarbiyyah Islamiyyah kerana Allah telah memberi peringatan kepada kita bahawa agama itu tunjang kekuatan dan solat pula adalah tiang agama. Maka sediakanlah ruang untuk mereka menerima didikan Islam yang mendidik akal dan jiwa rabbani. Buat para isteri, berusahalah mendidik anak-anak agar menjadi pejuang agama Allah.

 

Solat Sebagai Penyejuk Mata

 Sabda Rasulullah s.a.w. :

وَجُعِلَتْ قُرَّةُ عَيْنِى فِى الصَّلاَة
“Dijadikan penyejuk mataku di dalam solat.”
(Riwayat Ahmad dan An-Nasaai)

 

Rasulullah s.a.w pada ketika berlaku sesuatu yang menyedihkan atau mendukacitakan, baginda bersabda:

يا بلال! أقِمِ الصَّلاةَ ، وأرِحْنَا بِهَا
“Wahai Bilal! Serulah untuk solat (iqamat) dan rehatkanlah kami dengannya.”   (Riwayat Abu Daud)

Bagaimana dengan kita? Adakah kita menemui ketenangan dan kerehatan dalam solat? Atau resah dan tergesa-gesa ketika solat, hanya tenang dan gembira selepas habis solat? Membayangkan duniawi berbanding ukhrawi? Mencintai makhluk berbanding mencintai Allah Rabbul Jalil. Sama-sama kita muhasabah diri kita, sama-sama berusaha meningkatkan kualiti solat kita.

Kualiti solat memberi gambaran kepada kita tentang hubungan kita sebagai hamba dengan Allah s.w.t. Ya, hubungan dengan Allah. H.D.A = Hubungan Dengan Allah. Hubungan dengan Allah, merangkumi segala bentuk ibadah, khusus dan juga umum.

Hubungan dengan Allah s.w.t. perlu dijaga dan dikukuhkan, barulah mudah untuk kita membina dan memelihara hubungan dengan manusia. Perbaikilah hubungan dan urusan dengan Allah Al-Khaliq, insyaAllah Allah akan permudahkan  untuk kita perbaiki hubungan dengan manusia.

Andai belum kukuh hubungan dengan Allah s.w.t , sukar untuk seseorang itu menjadi penyejuk mata kepada pasangannya, juga sukar untuk seseorang itu memandang dan merasai pasangannya sebagai penyejuk mata, walau sebaik mana pun pasangannya. Sebagai contoh, lihat kepada kisah Fir’aun dan Asiah r.a., juga kisah Nabi Lut a.s. dan isterinya. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah2 para anbiya’ dan  auliya’

Mata yang memandang ke langit yang indah lagi bersih melalui tingkap yang kotor, tidak akan dapat memandang langit sebagai indah. Hati yang kotor, tidak dapat memandang sesuatu yang baik dan bersih sebagai baik. Apabila hati kita bersih, mudah bagi kita untuk memandang yang baik sebagai baik. Maka, muhasabahlah diri kita dahulu, jangan terus ‘memuhasabahkan’ pasangan kita  kerana malas muhasabah diri sendiri.

 

RENUNG-RENUNGKAN SAMBIL BERMUHASABAH DIRI..

No comments: