Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan
cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum.
Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak
kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita
dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja
dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika
tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan,
jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya.
Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga
merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit
tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam,
ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli.
Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang
mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting,
siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih
sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya
kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia
apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum
hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan
perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu
kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita.
Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan.
Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada
kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran
yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah
sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu
dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita
mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di
tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara
satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat
apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang
lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia
kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka
masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini.
Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada
perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu
pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan
dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga
dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang
melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada
masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini
kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini
menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya.
Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita
sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang
situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk
kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang,
"lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah
ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita
melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon
yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang
mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita
memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman
hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia
memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui
kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan
keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan
tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila
kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang
ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam
yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini
juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat
membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas
pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah
sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah
pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya
perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa.
Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui
mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan
sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah
dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah
keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita
lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Setelah
semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan sentiasa berdoa. Ingatlah, nikmat
di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
No comments:
Post a Comment