Dunia itu umpama satu jambatan. Akhirat itu umpama satu perhentian.
Destinasi yang kekal buat selama-lamanya. Akhirat itulah bermulanya satu
kehidupan yang baru dan abadi. Tiada siapa menduga waktu dan saat bila
ianya akan berlaku. Tiada siapa yang dapat memberitahu kita kerana
rahsia itu hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Pemilik Agung Rahsia
alam!
Detik berlalu meninggalkan kita. Saat yang tiba menanti dengan penuh
rahsia. Kita tidak tahu apa yang bakal menimpa, menguji dan mendatangi
kita.. Samada yang akan hadir itu nanti adalah musibah, ujian, duka atau
bahagia.. Yang pasti semuanya adalah teristimewa dan terindah daripada
Allah untuk kita. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik
buat hamba-hambaNya.
"Boleh jadi
kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula
kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui
sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 216)
(Surah Al-Baqarah, ayat 216)
Bergembiralah dan senyumlah apabila yang menjadi tetamu kehidupan itu
adalah ujian atau musibah. Ujian itu tidak semuanya pahit dan tidak
semua yang pahit itu tidak baik untuk kita. Adakalanya yang pahit itu
umpama ubat. Seperti orang yang sakit, ubatlah temannya. Begitulah ujian
musibah yang Allah berikan untuk kita. Allah berikan 'ubat' agar
menjadikan hati kita lebih baik dan sihat. Dan ujian itu jugalah tanda
Allah mengasihi kita.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang mukmin ditimpa
rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan
(kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu
Allah menghapus dosa-dosanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Maha suci Allah yang memiliki seluruh alam.. Dia mengetahui apa jua
yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Hanya dengan sekelumit ujian membawa
kita membesarkan Allah di dalam hati. Ya, dengan sekecil-kecil musibah
itu juga membawa minda kita supaya sentiasa berpaut mengharap
perlindungan dan perhatian daripada Allah SWT. Sungguh, dengan ujian
itulah Allah meninggikan darjat hambaNya.. Maka usah bersedih dan
sentiasalah bersangka baik tika diri diuji.
"Janganlah
kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal
kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang
yang beriman."
(Surah Al-Imran, ayat 139)
(Surah Al-Imran, ayat 139)