Followers

Wednesday 13 June 2012

~ UjiAn DuNia JamBaTan Ke AkHiRaT ~

Dunia itu umpama satu jambatan. Akhirat itu umpama satu perhentian. Destinasi yang kekal buat selama-lamanya. Akhirat itulah bermulanya satu kehidupan yang baru dan abadi. Tiada siapa menduga waktu dan saat bila ianya akan berlaku. Tiada siapa yang dapat memberitahu kita kerana rahsia itu hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Pemilik Agung Rahsia alam!

Detik berlalu meninggalkan kita. Saat  yang tiba menanti dengan penuh rahsia. Kita tidak tahu apa yang bakal menimpa, menguji dan mendatangi kita.. Samada yang akan hadir itu nanti adalah musibah, ujian, duka atau bahagia.. Yang pasti semuanya adalah teristimewa dan terindah daripada Allah untuk kita.  Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Bergembiralah dan senyumlah apabila yang menjadi tetamu kehidupan itu adalah ujian atau musibah. Ujian itu tidak semuanya pahit dan tidak semua yang pahit itu tidak baik untuk kita. Adakalanya yang pahit itu umpama ubat. Seperti orang yang sakit, ubatlah temannya. Begitulah ujian musibah yang Allah berikan untuk kita. Allah berikan 'ubat' agar menjadikan hati kita lebih baik dan sihat. Dan ujian itu jugalah tanda Allah mengasihi kita.




Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang mukmin ditimpa rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Maha suci Allah yang memiliki seluruh alam.. Dia mengetahui apa jua yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Hanya dengan sekelumit ujian membawa kita membesarkan Allah di dalam hati.  Ya, dengan sekecil-kecil musibah itu juga membawa minda kita supaya sentiasa berpaut mengharap perlindungan dan perhatian daripada Allah SWT.  Sungguh, dengan ujian itulah Allah meninggikan darjat hambaNya.. Maka usah bersedih dan sentiasalah bersangka baik tika diri diuji.

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran, ayat 139)

link:

Sunday 10 June 2012

~ TazKiRah DuNia AkHir ZaMaN ~

Dalam hidup manusia yang penting adalah berkat,
bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat,
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat,
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat,
Apabila masyarakat jadi muafakat, Negara kita akan jadi kuat,
Apabila Negara jadi kuat, Negara luar jadi hormat,
Apabila Negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat,
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat,
Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan jadi pesat,




Tetapi Awas!
Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
Kita lihat bangunan bertingkat-tingkat,
Di tengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat,
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat,
Ketika itu manusia mula mengubah tabiat,
Apabila manusia telah ubah tabiat, ada yang jadi ulat jadi lalat,
Apabila manusia dah jadi ulat, solat makin hari makin liat,
Apabila solat jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat,
Apabila orang baik bertukar jadi jahat, orang miskin pula nak kaya cepat,
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat,
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan sajalah minyak gamat,
Yang lelaki, budak-budak muda pakai seluar ketat, semua nak tunjuk kuat,
Bila berjudi, percaya unsur khurafat, tapi hidup pula yang melarat,
Tali kasut dah tak terikat, rambut pun jarang disikat,
Yang perempuan pakai mini sekerat, suka pakai baju ketat-ketat suka sangat menunjukkan pusat hingga tak pedulikan lagi batasan aurat,
Pakai pula yang singkat-singkat, kadang-kadang ternampak benda ‘bulat’,
Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercengat,
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat,
Duduk jauh berkirim surat,
Bila berjumpa, tangan berjabat,
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat,
Masa tu nafas naik sampai tersekat-sekat,
Usah peduli agama dan adat,
Usah takut Allah dan malaikat,
Yang penting apa kita nak buat?
Kita ‘buktilah” kita buat,
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat,
Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah anak-anak tak cukup sifat,
Bila anak-anak dah tak cukup sifat, jam itu kita tengok bayi dibuang merata-rata tempat,
Masya-Allah, maksiat…..maksiat…!!!
Maknanya ketika itu iblis mula melompat,
Dia kata apa?
Ha….ha…haa..manusia dah masuk jerat,
Habis manusia telah tersesat,
Inilah dia fenomena masyarakat,


Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingati bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat,
Berangkat menuju ke negeri akhirat,
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat,
Masa itu sendiri mau ingat,
Umurmu banyak mana mu buat ibadat?
Zaman muda mu apa yang telah mu buat?
Harta benda anta, dari mana anta dapat?
Ilmu anta adakah anta manfaat?
Semoga dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan amalan.





Petikan : badasipgksah

Saturday 9 June 2012

~ HaNya InsAn TerPiLiH ~

Aduhai hati yang selalu gundah gulana. Mengapa perlu difikirkan kehidupan duniawimu. Sedangkan dunia itu sering menipumu. Bukankah kehidupan ini penuh dengan majazi? Tipu daya di sana sini?

Maka, hendaklah engkau susun langkahmu penuh hati-hati, Ingatlah, syaitan itu sentiasa tidak mahu mengaku kalah dan tidak pernah putus asa. Setiap saat masanya adalah berharga. Tidak dibiar kosong tanpa menyesatkan adam dan hawa. Lantas, bagaimana engkau masih lagi memikirkan hal duniamu?

Perbanyakkanlah berfikir, renung penuh bererti.. Bagaimana bakal kehidupanmu sewaktu mengadap Tuhan Rabbul 'Izzati..? Selamatkah dirimu di hari yang tiada pelindung melainkanNYA? Akan beratkah amal yang akan engkau bawa? Justeru, renungkanlah duhai diri yang lemah. Agar kehidupanmu di dunia sentiasa waspada.. Semoga, akan hadir dalam hatimu jiwa yang sensitif dengan dosa. Merasakan dosa itu besar sekalipun pada kesilapan sekecil zarah. Ketahuilah.. itulah antara ciri-ciri mereka yang aqrab dengan tuhanNya. Yang punya Ihsan dalam hatinya. Merasa kehadiran Allah dalam setiap sentuhan masa yang ada.. sekalipun mata tidak melihat, tetapi hati menyakini Allah MAHA MELIHAT.





Untuk apa perlu dirisaukan, aduhai hati yang rawan.. sebuah kehilangan itu hanya secebis dugaan.. dari Tuhan sekalian alam.. Hilang bukan bererti tamatnya sebuah kehidupan, tetapi dengan kehilangan itulah darjatmu ditinggikan. Hairan? Mengapa perlu dihairankan, Allah itu Maha berkuasa, zat yang sempurna penuh keagungan. Lupakah duhai hati, Allah telah berjanji dalam kalamNya Izzati.. "Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?" Maka, hadapilah ujian dengan sejuta kesabaran. Percayalah, yakinlah sepenuh hatimu.. Hanyasanya Allah bersama-sama mereka yang SABAR.

Aduhai hati yang penuh kesedihan. Mengapa perlu ditangisi sebuah perpisahan? Bukankah semua kita akan pergi.. pulang kepangkuan Tuhan. Dialah yang menjadikan.. Dan padaNya jua segalanya akan dikembalikan. Lupakah engkau, hidup di dunia ini sekadar persinggahan. Yang kekal hanyalah amalan sebagai teman. Itulah teman dalam perjalanan menuju sebuah keabadian.. Maka, janganlah engkau lalaikan hatimu dengan kehidupan yang sementara ini. Janganlah engkau tangisi lagi sebuah perpisahan sementara.. akan tetapi, hadapkanlah wajahmu sentiasa kepada Allah..

Penuhkanlah jiwa dan hatimu dengan dzikrullah memuji kebesaranNya. Juga sibukkanlah hari-harimu dengan amalan makruf nahi mungkar , mengikut sunnah kekasihNya. Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah TAQWA.





Duhai diri yang lemah.. Kembalikanlah hatimu kepada Rab.. Kerana DIA lah pemilik segala yang engkau ‛miliki'.. Segalanya hanya pinjaman untuk menguji. Kentalkanlah semangat juangmu. Jadilah seperti syaidatina Aisyah, putrinya Syaidina Abu Bakr.. Walau fitnah mencalar maruah, Dia tetap Aisyah! Walau rumahtangganya di landa badai anggkara si munafiq durjana, tetap teguh pendiriannya, menggunung Tawakkalnya. Pada Allah sw.t dia berdoa, mengharap furqan agar tenggelam segala nista. Insafilah duhai diri yang lemah, Allah sengaja menguji sekeping hati yang kecil.. sebagai tukaran untuk mendapatkan habuan yang lebih besar kelak.

 Maka bersyukurlah.. bersyukurlah.. bersyukurlah kerana engkau insan terpilih

 

 

Friday 8 June 2012

~ CiNTa Ohh CinTa ~

Cinta itu fitrah. Sering kita ungkap, sering kita singkap betapa besar perasaan cinta. Cinta juga apabila ditanya maksudnya, akan timbul pelbagai definisi dari setiap orang yang membicarakannya. Ya, cinta itu sifatnya suci dan kalam. Namun, kita sebagai manusia yang mencacatkan cinta. Apabila ditanya, cinta apa yang utama, ramai atau mungkin semua akan katakan, 'cinta kepada Allah'.

Tepat sekali.

Namun, ramai yang tahu secara tepat, tapi tidak faham secara jelas. Cinta utama sudah pasti cinta kepada Allah. Mari kita muhasabah diri bersama-sama. Sebagai contoh, jika kita mendapat panggilan daripada kekasih daripada mendengar azan dari masjid, yang mana kita utamakan? Atau bila diajak untuk keluar bersama pasangan daripada menunaikan solat, mana yang kita dahulukan? Ataupun bila diajak membuat kebaikan daripada mencari habuan atau ganjaran dunia, yang mana kita lakukan? Tepuk dada, tanya iman.

Kita manusia mampu berkata-kata, mampu bersandiwara. Kita terbabas dari realiti dan lebih mengejar fantasi kehidupan berbanding mencari husnul khotimah. Ingatlah, diri kita (manusia) tanpa rahmat Allah ibarat tin kosong yang berkarat. Sungguh, lihatlah cinta itu pada mata hati bukan pada pancaindera dan rasa semata-mata kerana terdapat nikmat iman jika kita mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Teliti dan fahami maksud hadis berikut:

Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga hal yang barangsiapa mengamalkannya, maka dia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi daripada yang lain; mencintai yang lain kerana Allah; tidak suka kembali pada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api neraka.' (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai oleh daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Nasa'i)

 Jalan mencari cinta

Jalan cinta bukan mudah. Akal dan pemikiran muda mudi kini sering kali disesakkan dengan ideologi dan kata-kata indah tentang wujudnya 'cinta islamik' sebelum berkahwin. Sedarlah, tiada cinta sebelum nikah. Andai kata kita mengucapkan rasa cinta kepada seseorang yang tiada ikatan yang sah sudah pasti bakal mengundang zina hati atau fitnah tanpa disedari. Ungkapan 'aku mencintaimu kerana Allah' dijadikan satu alasan untuk meng'halal'kan cinta mereka semata-mata. Jadi, pilihan ada pada kita semua.

Mari kita selami hadis ini: "Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain) Amat besar nikmat cinta jika yang dicari demi mendapat keredhaan Ilahi. Inilah perjalanan kehidupan, cinta mencipta seribu satu persoalan. Cinta Ilahi adalah segalanya. Cinta kerana Allah akan sampai ke penghujungnya. Biar dirasai kepahitan dalam mencari cinta agar mendapat kemanisan hikmah di sebalik kisah cinta.

Aspek memilih cinta

Sebagai seorang Muslim, iman dan taqwa jadi pegangan. Al-Quran wajib dijadikan pedoman dan ditegakkan serta as-sunnah mesti dijadikan ikutan. Begitulah juga dalam aspek memilih cinta hati atau pasangan hidup kita. Agama perlu dijadikan panduan utama.
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: "Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, jagalah kesucian diri, simpanlah perasaan yang bersemi di hati, cinta Ilahi adalah cinta abadi. Islam, iman dan ihsan adalah aspek penting dalam memilih calon yang soleh dan solehah. Mohonlah doa dan keredhaan daripada Allah semoga dikurniakan seorang insan yang akan membuatkan kita bahagia di akhirat kelak nanti. Jadi, ingatlah, iman, ikhlas dan sabar adalah kunci kepada cinta yang suci.
Firman Allah SWT:

"Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-Furqan 25: Ayat 74)